
Pada tahun 1966 saya memasuki Darjah 1 Sekolah Rendah Clifford. Bagaimanapun pada tahun berikutnya tahun 1967-1968 ayah saya dipindahkan ke Kuala Tembeling. Oleh kerana hanya di Jerantut mempunyai sekolah aliran inggeris, jadinya saya bersekolah di Sekolah Rendah Jerantut. Saya tinggal di rumah Aki dan Wan saya di Kg Baharu, Jerantut. Tahun 1969 ayahanda saya kembali ke Padang Tengku menjadi Guru Besar di SMRK Padang Tengku. Kami sekeluarga tinggal di rumah guru dalam kawasan sekolah menengah. Setiap hari saya dan adik saya menaiki van yang disewa, ke sekolah rendah Clifford dengan rakan-rakan. Saya biasanya duduk di kerusi depan sebelah driver. Van ini juga mengambil anak Pengurus Selborne Estate dan rakan yang lain dari Selborne Estet. Setiap hari inilah rutin kami ke sekolah rendah Clifford. Di sekolah rendah Clifford saya memang aktif bersukan olahraga dan bermain bola sepak. Dalam setiap kali hari sukan sekolah saya mewakili rumah sebagai pelari 100m, 200m dan 4x 100m. Juga pernah mewakili sekolah dalam bolasepak.


Di sekolah menengah Clifford saya juga aktif sukan olahraga dan bolasepak. Dalam kelas saya juga pernah menjadi Ketua Kelas dan Penolong Ketua Kelas. Oleh kerana ini adalah kelas aliran Inggeris rakan-rakan saya berbilang kaum. Bagaimanapun kami menghormati satu sama lain, boleh melawak sesama rakan Cina dan India. Setiap orang itu mempunyai keunikan tersendiri.
