Disini saya ingin menjelaskan proses bagaimana seseorang itu mendapatkan ijazah PhD, daripada pengalaman penulis yang pernah menyelia pelajar PhD serta sebagai penilai luar universiti, tempatan dan luar negara.
Pertamanya, pemilihan calon PhD harus melalui satu panel pakar bidang yang dilantik oleh Fakulti yang berkaitan dengan permohonan calon. Hanya calon yang layak sahaja dipilih berdasarkan kelayakan Ijazah Sarjana dan proposal awal calon tersebut. Adakalanya perlu di panggil untuk temubual oleh ahli panel.
Penyelia Phd akan dilantik untuk calon tersebut. Setelah surat tawaran dikeluarkan maka bermulalah beliau sebagai seorang pelajar PhD. Pelajar PhD diberi masa dua hingga tiga semester (kadangkala lebih masa)untuk menghasilkan proposal yang mantap. Maka disinilah peranan penyelia menjadi penting. Komitmen yang tinggi, bimbingan dan pemantauan berterusan amat perlu bagi seorang penyelia.
Setelah proposal (Bab 1, 2 ,literatur & 3, Kaedah Kajian) lengkap dan mantap dengan bimbingan penyelia, maka pelajar perlu membentangkan proposal beliau di seminar/kolokium siswazah yang diadakan dimana juga dilantik seorang penilai/pemeriksa dalaman bagi membaca proposal tersebut. Penilai dalaman perlu menilai proposal tersebut serta memberi cadangan pembaikan tetapi adakalanya juga pelajar PhD perlu membuat pembentangan semula di seminar berikutnya jika penilai kurang berpuas hati dengan hasil kerja pelajar. Pembentangan proposal ini amat digeruni oleh pelajar. Kehadiran Seminar/Kolokium Siswazah ini terdiri daripada penilai dalaman, pensyarah fakulti serta pelajar-pelajar siswazah yang lain.
Jika semua berjalan lancar (proposal PhD lulus dengan pembaikan) pelajar PhD sudah boleh memikirkan untuk ke lapangan bagi memungut data. Proses surat menyurat boleh dilakukan diperingkat ini atau lebih awal. Proses mengemaskini dan memantapkan proposal/tesis perlu diteruskan dengan bimbingan penyelia. Proses memungut data ini amat kritikal bagi seorang pelajar PhD. Kadangkalanya memang banyak cabaran dan halangan diperingkat ini. Data yang didapati perlu diproses dan diolah untuk memenuhi kehendak dan objektif tesis. Disini juga memerlukan kemahiran tertentu untuk memproses data sama ada data kuantitatif atau data kualitatif. Oleh kerana itu, pelajar diperingkat awal lagi perlu menghadiri kelas atau kursus yang berkaitan untuk belajar aspek memproses data ini.
Pada masa inilah juga pelajar perlu menulis, memantapkan dan memurnikan Bab 4 (Dapatan Kajian) dan seterusnya melengkapkan Bab 5. Diperingkat ini mungkin sudah berada di Semester ke-6 (tiga tahun pengajian), atau lebih awal. Juga tidak menghairankan jika masih berlanjut ke Semester 7, 8., 9, 10. Yang penting PhD perlu siap.
Jika tesis PhD sudah lengkap, ianya perlu dibentangkan keseluruhannya di Seminar/Kolokium Siswazah sekali lagi bagi tujuan permurnian dan penilaian kali terakhir. Penilai dalaman juga dilantik sekali lagi untuk menilai tesis tersebut. Setelah tesis PhD lulus pembentangan terakhir, biasanya masih ada pembaikan (minor atau major) dan pemurnian tesis perlu dilakukan. Penyelia akan menentukan penilai luar universiti (terdiri daripada pensyarah pakar bidang dari Universiti lain) dan penilai dalam universiti untuk dihantar tesis itu untuk dinilai sebelum di adakan sesi viva voce. Penilai luar universiti biasanya mengambil masa 1 hingga 3 bulan untuk menilai tesis tersebut. Sesi Viva Voce akan diadakan selepas Fakulti menerima laporan penuh tesis daripada penilai luar dan dalam universiti. Viva Voce adalah sesi pembentangan lisan tesis PhD pelajar kepada ahli panel pakar yang hadir dan seterusnya sesi soal-jawab antara ahli panel dan pelajar. Disinilah pelajar perlu mempertahankan tesis mereka. Peringkat viva voce ini menentukan pelajar PhD layak atau tidak untuk dianugerahkan Doktor Falsafah. Kebiasaannya, selepas viva, pemurnian dan pembaikan tesis (minor atau major) masih diperlukan, melainkan lulus dengan cemerlang. Pembaikan dan pemurnian tesis akan disemak, diteliti dan sahkan oleh penyelia dan pemeriksa dalaman, tetapi adakalanya juga tesis tersebut perlu disemak, diteliti dan disahkan kembali oleh pemeriksa luar univerisiti.
Setelah semua selesai bolehlah berurusan dengan pihak fakulti untuk tujuan penjilidan tesis dan sebagainya.
**Nota: Sepanjang penyeliaan PhD berjalan, pelajar juga dikehendaki membentang kertas kerja di Seminar ( Kebangsaan/ Antarabangsa) dan menulis artikel-artikel di jurnal terpilih.
**Proses ini juga mungkin ada perbezaan antara Fakulti dan Universiti amnya.
**Pengalaman penulis ini adalah dalam bidang Pendidikan, khususnya Pendidikan Matematik.
Selepas sesi Viva Voce PhD Selepas Sesi Viva PhD Hari yang dinanti…Majlis Konvokesyen Majlis Pemakaian Jubah PhD