Antara aspek utama yang harus diberi perhatian dalam kajian kuantitatif :

- Pengenalan-penulisan umum tentang konteks kajian yang dipilih. Berikan sedikit latarbelakang dan situasi tentang aspek yang ingin dikaji.
- Aspek pernyataan masalah-Apakah isu dan masalah yang wujud masakini yang anda ingin utarakan? Perlu selari dengan objektif/persoalan kajian anda. Apakah jurang daripada kajian lepas yang ada?
- Apakah kerangka konseptual dan kerangka teori kajian anda? Perkaitan antara pembolehubah-pembolehubah perlu diperjelaskan.
- Adakah objektif/persoalan kajian anda selari dengan isu dan masalah dalam pernyataan masalah?
- Definisi istilah dan operasional kajian anda. Rujuk kepada literatur berkaitan bukannya kepada definisi daripada kamus.
- Kajian-kajian lepas yang berkaitan dengan pemboleh ubah kajian-Adakah sintesis dan analisis kritikal kajian dilakukan? Adakah wujud jurang dalam kajian lepas yang menyebabkan anda ingin melakukan kajian anda?
- Apakah rekabentuk kajian anda? Mengapa anda pilih rekabentuk kajian ini?
- Bagaimana sampel kajian/responden dipilih? Perlu diperincikan dalam penulisan. Contohnya: Jangan hanya menyatakan sampel dipilih menggunakan persampelan rawak mudah. Bagaimana proses persampelan rawak mudah itu dilakukan? Perlu diperjelaskan.
- Adakah instrumen kajian ditentukan kesahan dan kebolehpercayaan nya? Bagaimana proses tersebut dilakukan? Adakah modifikasi item dibuat? Jika ada, item yang mana? Mengapa diubah? Adakah instrumen itu dibina sendiri oleh pengkaji?
- Adakah dapatan kajian anda menjawab persoalan kajian anda? Jangan membuat intepretasi terhadap dapatan anda disini, simpan untuk bahagian perbincangan nanti.
- Apakah hujah dan justifikasi terhadap dapatan kajian tersebut? Mengapa terjadi demikian? Harus diingat perbincangan bukannya ulangan daripada dapatan kajian. Disini sepatutnya statistik yang digunakan dalam dapatan tidak dipaparkan lagi.
- Apakah sumbangan baru kajian anda? Apakah implikasi kajian anda kepada teori dan amalan?