KENANGAN SEMASA MEMBUAT Sarjana Muda Matematik & Sarjana Pendidikan Matematik di USA (1983-1986)

Share my story!

Selepas tamat pengajian Ijazah Sarjanamuda dalam bidang matematik pada tahun 1984 (tamat Ijazah Sarjana Muda dalam tempuh dua tahun sahaja kerana dapat transfer credit daripada ITM) di Indiana State University saya balik ke Malaysia untuk berkahwin. Isteri saya pada masa itu bertugas sebagai tenaga pengajar di Kolej MARA Seremban. Beliau balik dulu ke Malaysia selepas tamat pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Matematik . Isteri saya pergi ke USA lebih dahulu daripada saya, iaitu beliau pergi selepas tamat pengajian Tingkatan 5 (MCE 1978), di Temenggong Ibrahim Girl School (TIGS), Batu Pahat. Menamatkan Ijazah Sarjanamuda Matematik ( mendapat penghargaan tertinggi dari Universiti semasa konvokesyen, Summa Cum Laude ) dan Ijazah Sarjana Matematik. Otaknya memang bergeliga, saya hanya minyak geliga.

Akad Nikah di Lembah Keramat 1984 pada usia 25 tahun

Selepas berkahwin saya balik semula ke US seorang diri untuk menghabiskan Sarjana Pendidikan saya. Bagaimanapun, selepas berada dua semester di US saya balik semula ke Malaysia untuk membawa kembali isteri dan anak pertama saya (Muhammad Irfan Effandi) yang baru lahir ke US. Alhamdulillah isteri saya dapat kebenaran dari MARA untuk mengikut saya kembali ke US. Kami menyewa Married Student Housing, iaitu perumahan yang disediakan oleh pihak universiti untuk pelajar yang berkahwin. Oleh kerana pada masa itu biasiswa hanya untuk saya seorang, jadinya saya terpaksalah bekerja sambil belajar.

Anak sulong Muhammad Irfan di depan perpustakaan ISU

Kebetulan pada masa itu isteri saya mendapat peluang kedua diberi oleh MARA untuk membuat Ijazah Sarjana kedua, iaitu Sarjana Pendidikan (beliau dapat transfer credit daripada Ijazah Sarjana pertama beliau, hanya perlu ambil kursus pendidikan sahaja). MARA hanya bayar yuran pengajian sahaja tanpa elaun harian. Kami bergilir menghadiri kelas. Saya menghadiri kelas Sarjana pada waktu malam dan isteri saya pada siangnya. Kami bergilir menjaga anak. Di waktu tiada kelas dan hujung minggu saya bekerja di Dewan Makan Universiti antara tugasnya ialah mengelap lantai, membasuh pinggan dan mangkuk (hanya perlu masuk pinggan dan mangkuk dalam dishwasher) dan adakalanya sebagai pelayan seperti tolong scoopkan aiskrim, dan mengambil makanan pilihan pelajar. Kekoklah juga pada peringkat awalnya, kerana melayan Mat Salleh.

Gaji dibayar ikut jumlah jam bekerja dan dibayar dua minggu sekali. Bolehlah hidup untuk pergi shopping, beli sebuah kereta terpakai dan membeli barang keperluan rumah selain daripada pampers untuk anak. Kami berdua tamat pengajian Sarjana pada akhir tahun 1986 dan balik ke Malaysia pada 1987. Setibanya di Malaysia kami mendaftar diri di Ibu Pejabat MARA di Jalan Raja Laut dan kami berdua ditempatkan untuk mengajar di MRSM Taiping pada Mac 1987


Share my story!

Related posts