
Setelah tamat pengajian di ITM, Shah Alam pada tahun 1982, saya diterima masuk ke tahun pertama kursus Sarjanamuda Matematik di USM. Peluang ini saya tidak lepaskan dan saya mendaftar masuk ke USM pada bulan Julai 1982. Sebenarnya selepas tamat pengajian di ITM saya memang bercita-cita untuk melanjutkan pengajian di USA. Semasa ditahun akhir lagi di ITM saya sudah mula mengisi borang permohonan ke beberapa buah universiti di USA. Saya menulis surat ke beberapa buah Universiti di USA memohon borang kemasukan ke Universiti tersebut dan menghantar borang yang lengkap kembali kepada mereka. Saya diterima masuk ke Universiti of Nebraska, Lincoln, Universiti of Wisconsin, Universiti of Pittsburg dan Indiana State University. Universiti-universiti tersebut telah menghantar borang I20 kepada saya, iaitu borang untuk mendapatkan visa ke USA. Sekarang ini saya hanya perlu mencari biasiswa untuk ke USA. Saya memohon biasiswa MARA dan JPA.
Kebetulan pada masa itu juga terdapat iklan dari MARA untuk menjadi tenaga pengajar MRSM yang dinamakan sebagai Biasiswa Tindikan Tenaga Pengajar MRSM. Saya memohon biasiswa ini dan alhamdulillah dipanggil temuduga semasa sedang belajar di USM. Tidak lama selepas ditemuduga, keputusan temuduga keluar dan saya berjaya mendapat Biasiswa tersebut. Selepas 3 bulan belajar di USM saya menarik diri dari belajar di USM. Cita-cita saya tercapai untuk belajar di USA.