Dibesarkan dalam persekitaran sekolah

Saya dilahirkan pada 8 Mei 1959 di Padang Tengku, Kuala Lipis, Pahang.

Saya difahamkan nama saya Effandi itu adalah hasil pengaruh pembacaan buku-buku dari Indonesia oleh ayahanda saya pada ketika itu.

fandikecil
Bersama ayahanda di depan kelas

Pekan Padang Tengku adalah dalam Daerah Kuala Lipis, Pahang dan terletak dalam jarak 20 km dari Bandar Kuala Lipis. Untuk sampai ke Bandar Lipis boleh menaiki keretapi ataupun melalui jalan darat. Boleh juga melalui sungai tetapi jarang digunakan. Sejak dari kecil lagi saya dibesarkan dalam persekitaran/kawasan sekolah, iaitu tinggal dalam rumah guru. Kedua-dua ayahanda dan ibunda saya adalah guru. Semasa saya dilahirkan mereka bertugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Padang Tengku. Ibunda saya (Hjh Wan Safiah Wan Ishak seorang guru biasa, berasal dari Kg Baharu, Jerantut) dan ayah saya (Hj Zakaria Hj Derani, berasal dari Kg Relong) adalah Guru Besar (lulusan Sultan Idris Training College, SITC, Tanjong Malim, Perak).

Beliau menjawat jawatan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Padang Tengku bermula dari tahun 1958 sehingga tahun 1966. Beliau juga adalah Guru Besar yang pertama bagi sekolah tersebut.

Ayahanda di sebelah kiri bertali leher

Kawasan sekolah ini berada dalam kawasan Balai Polis Padang Tengku. Saya dimaklumkan kawasan sekolah ini juga adalah bekas kem Special Constables zaman darurat dahulu. Ada beberapa peristiwa yg masih saya ingat hingga ke hari ini. Adik saya Zaidi (sekarang Pengarah Kolej Komuniti Hulu Langat) pernah terperosok di bawah kereta Austin Minor ayah saya semasa beliau mengundurkan kereta keluar dari garaj.

adik beradik semasa itu 5 orang

Tanpa disedari adik saya berada di belakang kereta yang sedang berundur. Saya sempat menjerit “adik dibawah kereta” Mujurlah tiada kecedaraan berlaku walaupun adik saya sudah terperosok sampai ditengah kenderaan,sempat beliau merangkap keluar selepas kenderaan berhenti. Di kawasan sekolah inilah juga saya mula pandai mengayuh basikal. Basikal ayah saya pada masa itu, adalah basikal jenis Raleigh yang mempunyai palang di tengah. Dengan sebelah tangan kanan memeluk palang dan tangan sebelah kiri memegang stereng basikal saya mula belajar mengimbangi badan untuk berkayuh. Itulah permainan saya di waktu petang. Ayah dan ibu saya pernah menceritakan yang saya pernah hilang dari bilik tidor semasa mereka hendak masuk tidor. Mereka mencari sekeliling rumah tidak jumpa. Rupanya saya terjatuh dari katil bilik tidor dan tergolek kebawah katil. Semasa tinggal disini juga saya pernah belajar mengaji Quran dirumah Pakcik Ismail (beliau adalah bapa kepada sahabat saya En Norazlan, pensyarah IPGRM Seremban sekarang). Pakcik Ismail seorang yang lemah lembut dan sentiasa senyum tetapi tegas. Disinilah saya mula mengenai alif, ba, ta. Pada tahun 1966 saya memasuki Darjah 1 Aliran Inggeris di Sekolah Rendah Clifford, Kuala Lipis. Bagaimanapun hanya sempat setahun sahaja kerana ayahanda saya telah ditukarkan sebagai Guru Besar Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Tembeling, Jerantut. Akan Disambung…

Ayahanda bersama anak murid SK Padang Tengku

Membina Laman Web dgn Nama Domain Pilihan Sendiri (Bhgn 1)

Ramai yang berminat untuk membina laman web dengan nama domain pilihan sendiri (contoh: www. dreffandi.my, www.effandi.my). Disini saya menerangkan proses membina laman web ini melalui pengalaman saya sendiri. Langkah yang pertama adalah mencari penyedia Web Hosting (seperti Iwhost.com). Harga pakej webhosting ini bermula serendah dari RM 80 untuk setahun. Seterusnya, selepas kita sudah memilih penyedia webhosting bolehlah mencari nama domain pilihan sendiri di enjin pencari nama domain. Kita boleh taipkan apa saja nama domain atau kata kunci yang dikehendaki dan akan diberitahu sama ada nama domain tersebut masih ada ataupun sudah digunakan oleh orang lain. Saya mengunakan nama domain dreffandi.my dan effandi.my. Nama domain ini berharga serendah RM50 setahun (contoh: effandi.com). Untuk dreffandi.my yang saya gunakan kosnya adalah RM90 setahun. Oleh itu, dengan kos serendah RM130 (RM80+RM50) setahun kita boleh mempunyai laman web dengan nama domain pilihan sendiri. Untuk makluman saya telah mengunakan server (iwhost.com, dulu namanya internet-webhosting.com) ini sejak tahun 2009 lagi. Servis yang diberikan amat baik sekali. Sebenarnya ada banyak penyedia webhosting ini sama ada didalam atau luar negara. Anda boleh meneroka sendiri di alam maya. Selepas semuanya selesai, iaitu anda telah memilih dan melanggan pakej yang sesuai dengan kehendak anda dengan nama domain pilihan anda, maka bolehlah membina laman web anda dengan kreativiti anda sendiri. Sebenarnya anda tidak perlu tahupun tentang HTML untuk membina laman web ini. Saya akan terangkan dalam bahagian selanjutnya. SELAMAT MENCUBA.

Antara aspek utama yang harus diberi perhatian dalam kajian kuantitatif

Antara aspek utama yang harus diberi perhatian dalam kajian kuantitatif :

tesisphd
Tesis PhD
  1. Pengenalan-penulisan umum tentang konteks kajian yang dipilih. Berikan sedikit latarbelakang dan situasi tentang aspek yang ingin dikaji.
  2. Aspek pernyataan masalah-Apakah isu dan masalah yang wujud masakini yang anda ingin utarakan? Perlu selari dengan objektif/persoalan kajian anda. Apakah jurang daripada kajian lepas yang ada?
  3. Apakah kerangka konseptual dan kerangka teori kajian anda? Perkaitan antara pembolehubah-pembolehubah perlu diperjelaskan.
  4. Adakah objektif/persoalan kajian anda selari dengan isu dan masalah dalam pernyataan masalah?
  5. Definisi istilah  dan operasional kajian anda. Rujuk kepada literatur berkaitan bukannya kepada definisi daripada kamus.
  6. Kajian-kajian lepas yang berkaitan dengan pemboleh ubah kajian-Adakah sintesis dan analisis kritikal kajian dilakukan? Adakah wujud jurang dalam kajian lepas yang menyebabkan anda ingin melakukan kajian anda?
  7. Apakah rekabentuk kajian anda? Mengapa anda pilih rekabentuk kajian ini?
  8. Bagaimana sampel kajian/responden dipilih? Perlu diperincikan dalam penulisan. Contohnya: Jangan hanya menyatakan sampel dipilih menggunakan persampelan rawak mudah. Bagaimana proses persampelan rawak mudah itu dilakukan? Perlu diperjelaskan.
  9. Adakah instrumen kajian ditentukan kesahan dan kebolehpercayaan nya? Bagaimana proses tersebut dilakukan? Adakah modifikasi item dibuat? Jika ada, item yang mana? Mengapa diubah? Adakah instrumen itu dibina sendiri oleh pengkaji?
  10. Adakah dapatan kajian anda menjawab persoalan kajian anda? Jangan membuat intepretasi terhadap dapatan anda disini, simpan untuk bahagian perbincangan nanti.
  11. Apakah hujah dan justifikasi terhadap dapatan kajian tersebut? Mengapa terjadi demikian? Harus diingat perbincangan bukannya ulangan daripada dapatan kajian. Disini sepatutnya statistik yang digunakan dalam dapatan tidak dipaparkan lagi.
  12. Apakah sumbangan baru kajian anda? Apakah implikasi kajian anda kepada teori dan amalan?

Aplikasi Padlet

Saya telah menggunakan aplikasi padlet (http://www.padlet.com) semenjak tahun 2017. Tidak perlu lagi tugasan menggunakan kertas. Sangat sesuai untuk mendapat input segera daripada pelajar secara terus. Pelajar boleh menggunakan notebook, tablet, ipad atau mobile phone yang ada talian broadband atau wifi. Aplikasi ini juga boleh di install ke telefon android atau iphone, selain daripada menggunakan browser seperti Chrome. Apa yg ditaip pelajar akan terus keluar diskrin. Input pelajar boleh dibincangkan segera.

Pelajar lain boleh melihat dan membaca apa yang rakan mereka tulis. Boleh simpan, cetak pdf atau share. Ianya bukan saja untuk teks malah boleh dimuatnaik gambar mahupun video. Pelajar juga suka menggunakannya kerana semua tugasan atau perbincangan dalam kumpulan tidak melibatkan kertas dan mudah diakses pada bila-bila masa. Ianya bukan terhad penggunaaan di kelas sahaja tetapi juga boleh diakses dimana-mana asalkan ada talian internet. Versi percuma hanya boleh guna untuk tiga padlet sahaja, tetapi jika dilanggan boleh guna tanpa had.

TERAP KEMAHIRAN BERFIKIR MELALUI PENYOALAN

TERAP KEMAHIRAN BERFIKIR MELALUI PENYOALAN

Peranan guru dalam menerapkan kemahiran berfikir aras tinggi dalam pengajaran amat penting bagi merangsang pelajar supaya mereka turut serta dalam proses pembelajaran. Salah satu cara guru boleh menerapkan kemahiran berfikir semasa mengajar ialah melalui penyoalan. Penyoalan guru merupakan strategi pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang boleh merangsang pemikiran pelajar. Melalui penyoalan ini, guru boleh mengesan kefahaman pelajar, menilai keberkesanan pengajaran guru di dalam kelas dan meningkatkan pemikiran pelajar pada aras kognitif yang lebih tinggi.Bagaimanapun, penyoalan guru perlulah dirancang dengan teliti sebelum proses pengajaran berlaku. Penyoalan guru yang dirancang dengan baik akan membolehkan penggunaan soalan secara berkesan semasa pengajaran. Guru boleh menggunakan soalan untuk mencabar pemikiran pelajar atau menimbulkan perasaan ingin tahu dan minat pelajar pada awal pengajaran hinggalah membawa kepada menjawab soalan guru yang dikemukakan secara bertulis. Penggunaan penyoalan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) akan membantu pelajar mendapatkan idea serta mengukuhkannya dalam bentuk pertuturan dan penulisan.Penyoalan guru juga merupakan sebagai satu cara untuk menyampaikan isi kandungan pelajaran kepada pelajarnya. Soalan-soalan yang dikemukakan adalah berpotensi untuk membantu pelajar dalam mencapai keupayaan kognitif yang optimum. Melalui soalan-soalan yang dikemukakan oleh guru dalam proses PdP dapat mendedahkan pelajar menggunakan pengetahuan sedia ada dan membandingkan maklumat yang diperoleh serta menggunakannya untuk penyelesaian masalah. Dengan cara ini, pelajar bertindak secara aktif dan bukannya bertindak secara pasif dalam proses pembelajaran mereka.Jenis Soalan GuruTerdapat beberapa jenis soalan guru yang boleh digunakan dalam pengajaran. Antaranya ialah soalan jenis menumpu yang melibatkan maklumat terus dan berfokus, dan soalan jenis mencapah yang merangkumi soalan terbuka. Soalan jenis menumpu sesuai untuk yang beraras kognitif rendah. Soalan jenis mencapah yang merangkumi soalan terbuka merupakan soalan yang boleh menghasilkan pelbagai jawapan daripada pelajar. Misalnya, dalam pengajaran poligon, guru boleh bertanyakan soalan seperti “Apakah yang kamu boleh beritahu saya tentang poligon?”. Soalan berbentuk terbuka lebih menggalakkan pelajar untuk melatih kemahiran berfikir yang tinggi, iaitu pada peringkat sintesis dan analisis. Guru juga boleh bertanya kepada pelajar “Bolehkah kamu menunjukkan cara lain untuk menyelesaikan masalah ini?” Pelajar boleh menunjukkan pelbagai cara seperti penggunaan simbol, visual, lisan, atau graf dalam menyelesaikan masalah terutama masalah matematik. Melalui cara ini, pelajar dapat berkongsi idea mereka bersama rakan lain untuk menyelesaikan masalah. Justeru, guru seharusnya memberi peluang kepada pelajar untuk tampil ke depan dan menunjukkan cara mereka sendiri dalam menyelesaikan masalah.Guru yang efektif ialah guru yang sentiasa mewujudkan suasana bersoal jawab dan memberi peluang kepada pelajar untuk mengutarakan pendapat mereka semasa dalam proses PdP. Pengajaran yang berkesan memerlukan persekitaran yang kondusif, menggalakkan pelajar berfikir, menyoal dan menyelesaikan masalah.


GURU PERLU MANFAATKAN PELUANG BELAJAR DI PERINGKAT PENGAJIAN TINGGI

GURU PERLU MANFAATKAN PELUANG BELAJAR DI PERINGKAT PENGAJIAN TINGGI

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada pelajar-pelajar siswazah dalam kalangan guru yang telah mendapat tawaran ke peringkat sarjana dan doktor falsafah di universiti-universiti tempatan baru-baru. Semangat untuk menimba ilmu dalam kalangan guru harus dipuji. Tetapi untuk mengekalkan prestasi yang cemerlang, semangat sahaja tidak mencukupi jika tiada daya tahan dan usaha berterusan. Perlu konsisten dari segi komitmen dan banyak bersabar dalam mengharungi liku-liku dan halangan semasa pembelajaran.Oleh kerana telah bergelar pelajar Sarjana dan Doktor Falsafah maka aspek-aspek penting dalam meningkatkan ilmu dan kemahiran perlulah diambil kira. Guru harus bertanya diri sendiri untuk apa mereka belajar sehingga ke peringkat sarjana atau doktor falsafah. Adakah untuk mendapatkan ilmu atau untuk mendapat sijil atau ijazah semata-mata? Matlamatnya mungkin baik tetapi tindakan yang diambil untuk mencapai hasrat tersebut perlu lah sesuai.Amalan MembacaAmat rugi jika seseorang pelajar tidak mengambil peluang untuk membaca sebanyak mungkin bahan akademik seperti buku dan artikel jurnal dalam menghasilkan tugasan, tesis atau penulisan akademiknya. Kemudahan yang disediakan di perpustakaan haruslah digunakan sepenuhnya kerana universiti telah membelanjakan ribuan jika tidak jutaan ringgit untuk bahan-bahan rujukan terkini termasuk bahan dalam talian. Masa kini juga terdapat sebilangan besar bahan-bahan sumber terbuka yang boleh dimuat turun secara percuma sama ada jurnal, buku atau tesis. Amat mudah sekarang ini untuk mencari bahan-bahan akademik, dengan menggunakan Google Scholar, sejumlah besar bahan-bahan boleh didapati dalam beberapa saat sahaja. Maka tiada alasan lagi untuk menyatakan “rujukan tak cukup”.Wujudkan Kumpulan DiskusiDi peringkat pengajian tinggi memerlukan banyak masa untuk kita berdiskusi, bertukar idea dan berkongsi maklumat. Ini bukan lagi zaman belajar bersendirian. Wujudkan kumpulan untuk belajar dan berdiskusi. Perlu ada semangat tolong menolong dalam kalangan rakan-rakan. Banyak masalah boleh diselesaikan jika bekerjasama. Jangan kita pula menjadi free rider, haruslah juga kita menyumbang kepada kumpulan yang disertai. Melalui perbincangan juga  melatih kita membuat penaakulan selain daripada analisis kritikal terhadap pendapat orang lain.Selalu Berjumpa Penyelia AndaKebiasaannya setiap pelajar mempunyai penyelia yang dilantik. Wujudkan rapport yang baik dengan penyelia. Selalu berjumpa dan berbincang dengan penyelia. Kekerapan berjumpa penyelia dengan waktu yang sesuai harus di bincang bersama. Sibuk mana pun penyelia, dia boleh meluangkan masa untuk pelajarnya. Penyelia yang bertanggungjawab akan sentiasa mengambil tahu tentang kemajuan pelajarnya. Terdapat pelajar yang hanya berjumpa penyelianya di awal dan di akhir semester. Perangai yang tidak sihat ini harus dijauhi.Sertai Seminar-Seminar Kebangsaan dan AntarabangsaSepanjang anda menuntut ilmu sebagai pelajar siswazah jangan lepaskan peluang untuk menyertai seminar-seminar kebangsaan dan antarabangsa. Penyertaan dalam seminar juga membantu anda mendalami dalam bidang ilmu yang anda ceburi selain daripada mendapat maklumat terkini. Peluang inilah yang sepatutnya anda ambil untuk bertemu dan bertukar pandangan dengan peserta seminar yang lain. Jika anda seorang pembentang, maka input yang anda dapat daripada peserta lain boleh membantu memurnikan penulisan atau penyelidikan yang anda sedang lakukan.Sertai Bengkel dan Kursus KemahiranDi sinilah peluang untuk anda meningkatkan kemahiran anda dalam aspek-aspek tertentu. Umpamanya, anda tiada kemahiran menggunakan perisian tertentu atau mempunyai masalah menulis artikel untuk jurnal maka sertai lah bengkel atau kursus yang dikendalikan pihak luar, jabatan anda sendiri mahupun Pusat Siswazah anda. Input daripada pakar-pakar tersebut akan membantu memudahkan kerja anda selain dari memperoleh kemahiran baru.Akhirnya, setiap orang dalam hidupnya perlu mengambil peluang untuk pembelajaran sepanjang hayat bagi mendapatkan ilmu dan kemahiran yang dikehendaki sama ada secara formal atau tidak formal. Apatah lagi jika anda seorang guru, ilmu dan kemahiran anda amat berguna dan diperlukan untuk mendidik murid-murid di sekolah. Dalam menuju abad ke-21, orang yang mempunyai kelebihan ilmu dan kemahiran daripada orang lain sangat membantu dalam kerjaya masa depannya. Daya saing global juga mendesak kita agar sentiasa meningkatkan ilmu dan kemahiran. Bagaimanapun, ilmu dan kemahiran itu hanya boleh dicapai jika disertai komitmen yang tinggi dalam menghadapi sebarang cabaran.

CABARAN GURU DALAM MENGHADAPI REVOLUSI INDUSTRI KE-4

CABARAN GURU DALAM MENGHADAPI REVOLUSI INDUSTRI KE-4

Seorang guru mempunyai amanah dan tanggung jawab yang berat bagi mendidik pelajarnya. Peranan guru perlu selari dengan perkembangan persekitaran pendidikan masa kini. Ini menuntut komitmen guru yang sanggup menghadapi sebarang perubahan dalam abad ke-21 ini. Tiada guru yang mahukan anak didiknya menjadi insan yang tidak berguna. Amanah yang diberikan kepada guru dalam mendidik pelajar perlu digalas dengan sebaik mungkin. Guru perlu teruskan tugas dan tanggung jawab sedia ada dengan penuh dedikasi dan komitmen yang tinggi. Peranan guru kini semakin mencabar, mulai sekarang guru perlu bersedia dalam menghadapi revolusi industri ke-empat. Untuk revolusi pendidikan menjadi kenyataan, inovasi pengajaran dan pembelajaran dalam kelas dan peranan guru adalah menjadi sangat penting bagi mencapai hasrat tersebut.

Teknologi Digital

Pelajar kini terdedah kepada dunia yang berasaskan teknologi digital dimana internet, pengkomputeran awan (cloud computing) dan sosial media memberi cabaran kepada sistem pendidikan formal. Perkembangan teknologi yang pantas ini memerlukan perubahan paradigma dalam kalangan guru. Adakah guru telah bersedia untuk menghadapi pelajar generasi ini? Bagaimana untuk menghasilkan pelajar yang serba boleh dalam menyelesaikan isu yang kompleks, kreatif dan inovatif? Sudah tentu perlu komitmen untuk membentuk alat pedagogi yang baru. Pendidikan perlu mengadaptasi kepada kaedah baru pengajaran selari dengan perkembangan pantas teknologi. Teknologi telah menyerap kepada sebahagian besar masyarakat dan juga dalam alam pekerjaan serta kehidupan seharian kita. Malah ada yang mengatakan kemahiran yang kita belajar dalam pendidikan formal kini sudah tidak relevan untuk masa akan datang. Adakah ini benar? Kini istilah seperti robot, kecerdasan buatan (artificial intelligence), inovasi dan teknologi disruptif sering kita dengar apabila membicarakan tentang revolusi industri ke- 4.  Adakah guru telah bersedia untuk mengintegrasi luasan realiti (augmented reality) dalam pengajaran mereka? Seperti yang kita ketahui pengintegrasian luasan realiti dalam pengajaran membolehkan pelajar memahami sesuatu konsep dengan lebih baik.

Pendekatan Pengajaran

Zaman guru sebagai sumber utama ilmu dan maklumat mungkin sudah tidak relevan masa kini. Pengajaran dan pembelajaran kini perlu penekanan kepada aspek kreatif dan inovatif. Selain itu, pendekatan pengajaran dan pembelajaran perlu kepada pendekatan berfokus kepada pelajar yang berkolaborasi dan saling bergantung antara satu sama lain. Pembelajaran aktif, pembelajaran berasaskan projek, penyelesaian masalah dan inkuiri dengan peluang untuk terlibat dengan dunia sebenar perlu menjadi amalan. Dengan berkembangnya sumber maklumat terbuka dan kandungan secara dalam talian, guru bukan lagi sebagai sumber utama maklumat. Maklumat di hujung jari ini membolehkan guru dan pelajar mengakses maklumat dengan pantas dan cepat. Ini bukan bermakna guru tidak diperlukan tetapi peranan mereka sebagai pemberi maklumat telah berubah kepada pemudahcara dan konsultatif. Pelajar kini diberi kebebasan untuk menyesuaikan proses pembelajaran mereka melalui Pembelajaran Teradun (Blended Learning), Kelas Berbalik (Flipped Classroom) dan Membawa Peranti Anda Sendiri (BYOD,Bring Your Own Device). Pembelajaran juga diperibadikan (Personalised Learning) iaitu pembelajaran disesuaikan dengan kehendak pelajar kerana mereka juga mempunyai kepelbagaian dalam pembelajaran. Pembelajaran juga kini bukan hanya tertumpu di dalam kelas tetapi boleh juga berlaku di  rumah atau dimana sahaja mereka berada. Perkara yang dinyatakan di atas memerlukan perubahan dalam peranan guru sebagai pendidik. Oleh itu, dalam konteks pelatihan guru, program-program latihan guru dipelbagai institusi perlu seiring dengan perkembangan masa kini dan sangat mendesak untuk dikemaskini bagi menghadapi revolusi baru ini.

THE ROLE OF TEACHER BELIEFS IN TEACHING MATHEMATICS

THE ROLE OF TEACHER BELIEFS IN TEACHING MATHEMATICS

The notion that mathematics teachers’ beliefs toward mathematics teaching and learning influence their teaching practice has been suggested by many researchers. Studies have shown that teachers’ beliefs about mathematics teaching and learning are mostly formed during their own schooling and are developed as a result of their own experiences as mathematics students. Their conceptions about mathematics and how it should be taught are deeply rooted and are difficult to change. In order to understand how a teacher’s belief system can significantly influence how that teacher interprets and implements curricula, it is important to distinguish between teacher beliefs and teacher knowledge. Two teachers can have similar knowledge, but use very different teaching approaches based on their differing beliefs (Ernest, 1989).

Teachers who hold the traditional absolutist view about mathematics teaching and learning are more likely to create teacher-centered instructional environment such as teaching mathematics as rules to be memorized. They emphasized performance in their classrooms rather than emphasizing learning and understanding. These teachers also gave students less autonomy and created a classroom environment where mistakes were viewed as something to be avoided rather than creating an environment where there was no risk if a mistake was made.  Traditional teaching typically begins with an explanation of whatever idea or concept on the subject being taught followed by showing students how to do the assigned exercises. Even with a hands-on activity, the traditional teacher is guiding students, telling them exactly how to use the materials in a prescribed manner. The focus of the lesson is primarily on getting answers. Students rely on the teacher to determine if their answers are correct. Student emerge from these experiences with a view that mathematics is a series of arbitrary rules, handed down by the teacher. Teachers holding constructivist views of mathematics are expected to adopt student-centered environment by allowing students to explore and interact with each other while teachers act as a facilitator. This view is in line with current reform efforts that ask teachers to lead mathematical explorations and allow students to construct meaning and understanding in mathematics.

Researchers found that the most important obstacle to reform is that teachers’ beliefs and prior experiences of mathematics and mathematics teaching are not congruent with the current approaches to teaching. Ambrose (2001) suggested several avenues for changing belief systems. The first involves the process of reflection and examination of personal beliefs. In this way, inconsistencies can be identified. The second involves making connections among beliefs. This allows one to activate new beliefs in situations where they might not previously have been activated. Another way that belief systems can be changed is by developing a new belief that is connected to existing beliefs. The last belief change is the reversal of an existing belief. However, this type of paradigm shift is uncommon.  It should be noted that it is not easy to change the firmly held beliefs of teachers.   However, continuous effort should be made to change for the better. Teachers should be encouraged to consider instructional practices that are parallel to the current need in the teaching profession. We need greater collaboration and interaction among teachers. For the benefit of future teachers, teachers training institution should adopt the 21st-century skills in their curriculum.



Konsep STEM

Kefahaman Terhadap Konsep STEM

Keprihatinan terhadap pendidikan STEM sentiasa berkembang kerana keperluan kepada kemahiran STEM untuk memenuhi cabaran ekonomi semakin mendesak. Untuk terus melonjakkan daya saing negara terutamanya di peringkat global, pendidikan STEM perlu terus di terokai. Negara masih memerlukan kepakaran dan kemahiran yang berteraskan bidang STEM. Minat terhadap Sains dan Matematik dalam kalangan murid sekolah boleh dicetuskan kembali melalui pendidikan STEM. Oleh itu, banyak pihak kini berminat dengan pendidikan STEM. STEM adalah akronim kepada Sains, Teknologi, Engineering dan Matematik. Bagaimanapun, terdapat pelbagai interpretasi oleh pendidik dan orang awam tentang Pendidikan STEM itu sendiri.Pelbagai Interpretasi Pendidikan STEMTerdapat pihak yang mengatakan pendidikan STEM berkait dengan perubahan keadaan bilik darjah daripada pengajaran pasif kepada pengajaran aktif, pembelajaran inovatif serta juga melibatkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Ada juga mengatakan STEM adalah pengajaran yang melibatkan subjek-subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik dan secara realitinya tiada kaitan antara subjek.  Pendidikan STEM dilihat sebagai memberi fokus kepada peningkatan Sains dan Matematik sebagai disiplin yang terasing. Malah ada yang melihat pendidikan STEM itu hanya melibatkan elemen teknologi sebagai teras utama. Jelas terdapat pelbagai interpretasi mungkin juga kekeliruan tentang pendidikan STEM. Jadi apakah interpretasi yang sebenar?Definisi Masa kini Pendidikan STEMMungkin rujukan berikut boleh memberi gambaran tentang pendidikan STEM yang diamalkan masa kini. Moore et al (2014) mendefinisikan pendidikan STEM bersepadu sebagai “satu usaha untuk menggabungkan semua atau sebahagian empat disiplin Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan matematik kepada satu kelas, unit atau pelajaran yang berasaskan hubungan antara subjek dan masalah dunia sebenar”. Sneideman (2013) berpandangan bahawa STEM adalah suatu falsafah atau cara berfikir, di mana beberapa mata pelajaran iaitu Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi diintegrasikan menjadi satu bidang pendidikan yang dianggap sesuai dan relevan untuk diajarkan di sekolah kerana ia menekankan aspek amali dan realiti. Kelly dan Knowles (2016) pula memberi definisi pendidikan STEM sebagai satu pendekatan pengajaran kandungan STEM dalam dua atau lebih domain STEM dalam konteks autentik dengan tujuan untuk menghubungkan subjek berkaitan bagi meningkatkan pembelajaran pelajar. Dengan kata lain pendidikan STEM tidak berdiri sendiri atas disiplin yang terasing antara satu sama lain, ia adalah integrasi antara disiplin yang berteraskan dunia sebenar. Ini juga bermaksud kelas tradisional yang berorientasikan pemusatan guru perlu diubah kepada yang berasakan inkuiri dan penyelesaian masalah di mana pelajar belajar untuk mencari penyelesaian kepada masalah dunia sebenar. Walaupun integrasi kandungan STEM itu mungkin sukar untuk sebahagian guru untuk melaksanakannya tetapi kefahaman tentang konsep pendidikan STEM itu perlu diambil kira. Kerjasama antara pendidik dengan NGO dan industri boleh dimanfaatkan bagi menjalankan aktiviti STEM agar hala tuju pendidikan STEM dapat memenuhi keperluan negara pada masa hadapan



Lawatan ke Timor Leste

CATATAN RINGKAS LAWATAN KE TIMOR LESTE

penyelidik

Baru-baru ini (bulan November 2017) saya berkesempatan untuk melawat Timor Leste bersama sekumpulan penyelidik UKM di bawah Projek UNESCO. Tujuan lawatan adalah untuk menilai pelaksanaan kurikulum Sains dan Matematik Gred 7 hingga 9, Timor Leste yang dibiayai oleh dana KOICA (Korean International Cooperation Agency) dibawah naungan UNESCO. Kami dikehendaki menemuduga dan mendapatkan maklumat daripada pegawai Kementerian Pendidikan, staf TimorLesteNational Commission for UNESCO, staf SESIM (Pusat Sains dan Matematik, Timor Leste), pengetua/guru besar sekolah, guru-guru serta murid-murid.

Prasarana sekolah

sekolah3

Apa yang menarik ialah walaupun prasarana dan persekitaran sekolah tidaklah begitu hebat seperti kita, semangat guru-gurunya tetap tinggi untuk mendidik anak bangsa. Papan hitam masih digunakan secara meluas di sekolah. Kawasan sekolahnya sempit dan terhad. Mereka hanya mempunyai satu makmal Sains di Dili yang dibiayai oleh pihak KOICA dan UNESCO. Saya dapati guru-gurunya amat berdedikasi, rajin dan positif terhadap masa depan mereka. Jangan terkejut jika saya katakan purata gaji guru mereka adalah sekitar USD300 dan kebanyakan mereka hanya mempunyai motosikal sebagai kenderaan untuk ke sekolah.

Lawatan ke Sekolah

bilik guru

Kami sempat melawat beberapa buah sekolah di luar Dili. Sekolah yang kami lawati itu berada lebih kurang 40 km daripada Dili dan untuk sampai ke situ melalui jalan pantai. Setiap sekolah mempunyai uniform yang tersendiri. Saiz kelas adalah antara 50 hingga 70 orang sekelas. Memanglah saiz kelasnya besar tetapi bagi guru mereka telah biasa dengan keadaan demikian dan mampu mengawalnya dengan baik. Sekolah mereka juga mempunyai Bilik Guru sepunya. Bahasa rasmi yang digunakan dalam kelas adalah bahasa Portugis, tetapi digunakan juga bahasa tempatan Tetum bagi menjelaskan sesuatu konsep. Daripada pemerhatian rambang, saya dapati murid-muridnya amat berdisiplin. Sekolah yang kami lawati itu populasinya sekitar 2000 orang pelajar. Saya terserempak juga dengan seorang guru daripada Portugal dan menanyakan peranan beliau. Beliau menyatakan yang beliau ditugaskan membantu dari aspek Bahasa Portugis.

Kurikulum Sains dan Matematik

guru2

Dalam kurikulum baru Sains dan Matematik Gred 7 hingga 9, kaedah pengajaran adalah penekanan kepada aplikasi dan aspek kontekstual dalam subjek sains dan matematik. Buku teks lama yang menekankan teori telah dimasukkan contoh-contoh tempatan dalam penjelasan konsep serta aspek aplikasi dalam kehidupan seharian. Guru-guru di sekolah telah dilatih oleh SESIM bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka dalam pengajaran subjek Sains dan Matematik.

Rumusan

Semangat dan dedikasi guru mereka amat saya hargai walaupun dalam prasarana yang boleh dikatakan begitu daif. Saya percaya dalam masa terdekat Timor Leste akan berjaya dalam bidang pendidikan setara dengan rakan-rakan mereka dalam negara ASEAN.