Pada tahun 1967-1968 ayahanda saya dipindahkan ke SMK Kuala Tembeling, Jerantut dari SK Padang Tengku, Kuala Lipis. Kami sekeluarga tinggal di rumah guru Sek Men Keb Kuala Tembeling yang terletak di atas bukit.

Bagaimanapun, saya dan adik kedua saya dihantar ke Kg Bahru, Jerantut tinggal bersama Aki (Wan Kadir Wan Ishak) dan Wan saya (Siti Hawa) kerana kami bersekolah rendah aliran inggeris di Sekolah Rendah Jerantut. Setiap cuti sekolah dan kadang-kadang cuti hujung minggu baru kami balik ke rumah keluarga di Kuala Tembeling. Biasanya ayahanda akan ambil kami bila balik bercuti.
Pada masa itu jalan Jerantut ke Kuala Tembeling masih lagi jalan tanah merah dan bila banjir jambatan kayu yang dilalui selalu dinaiki air. Dalam perjalanan dari dari Jerantut ke Tembeling jalannya tidak rata dan berlubang sana-sini. Selalunya bila tiba disebuah bukit pada masa itu, kami semua terpaksa turun kereta kerana kereta kecil kami tidak boleh mendaki bukit tersebut jika ada penumpang kerana bukit curang. Ayahanda sahaja yang memandu kereta itu dan menunggu kami diatas bukit.