Kaki Bola

Pasukan Bola

Share my story!

Sewaktu saya tinggal di rumah guru dalam kawasan Sekolah Menengah Padang Tengku, Kuala Lipis (1969-1974) saya memang suka bermain bolasepak di waktu petang. Boleh dikatakan setiap petang saya akan turun ke padang bola. Masa itu saya belajar di Sekolah Rendah Clifford dan Tingkatan 1 hingga 3 di SM Clifford, Kuala Lipis. Semasa di Darjah 6 (1971) dan di Ting 3 (1974), saya mewakili pasukan bola Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah Clifford.

Pasukan Bola
Pasukan Bolaspak SR Clifford 1971

Tempat saya selalu bermain bola ialah di padang bola belakang asrama puteri SM Padang Tengku dan di padang stesen keretapi. Selalu juga kami geng-geng kaki bola berlawan bola dengan pasukan-pasukan yang ada di sekitar Padang Tengku. Antaranya pasukan bola dari Kg Gua, Kg Relong dan Selborne Estate. Biasanya saya bermain di sayap kanan. Dalam pasukan Selborne Estate itu ada seorang rakan karib saya, sama-sama sekolah Clifford yang namanya masih saya ingat iaitu Pakrisamy berketurunan India. Beliau ini memang pandai mengelecek bola. Saya selalu membenteng betis beliau dan beberapa kali saya jatuh. Beliau ini memang tinggi dan tulang ketingnya amat keras, beberapa kali saya berlaga dengan beliau. Amatlah sakit jika berlaga kaki keting beliau, bagaimanapun kami tidak pernah bergaduh. Selepas perlawanan kami berkawan kembali. Satu peristiwa yang masih saya ingat adalah apabila saya mewakili pasukan bolasepak SM Clifford melawan pasukan bola SM Padang Tengku. Seperti biasa saya bermain di sayap kanan. Pasukan kami sudah ketinggalan 3-0. Masa permainan hanya tinggal lebih kurang 15 minit, apabila saya mendapat lorongan bola dari rakan pasukan di tengah padang. Saya mengelecek sedikit dan terus menendang ke arah gol dari tengah padang, masa itu penjaga sudah agak kedepan. Saya membuat tendangan tinggi dan terus masuk ke galang gol. Bagaimanapun, kami kalah 3-1, satu-satunya gol dari saya.

Share my story!

Related posts