Memohon Pensyarah Universiti

Effandi

Share my story!

Pada tahun 1986 saya balik dari luar negara iaitu USA selepas menamatkan pengajian diperingkat Sarjana Pendidikan Matematik. Oleh kerana saya dibawah Biasiswa Tindikan Pengajar MARA saya dikehendaki berkhidmat dengan MRSM selama 8 tahun seperti ikatan kontrak biasiswa. Bermula Mac 1987 saya berkhidmat di MRSM Taiping bersama isteri saya.

Cita-cita saya sudah memang dari awal untuk berkhidmat dengan Universiti. Oleh kerana tidak mampu membayar balik kerana melanggar kontrak, saya lupakan dulu cita-cita saya itu. Selepas sampai tahun ke 8 di MRSM, saya mula mencari peluang untuk mula kembali menghidupkan cita-cita saya. Saya memohon ke Fakulti Pendidikan UPM, UKM dan USM dengan menghantar CV saya, tetapi semuanya ditolak dengan alasan tiada kekosongan. Saya masih tidak berputus asa. Tiba-tiba saya terbaca iklan kekosongan jawatan pensyarah  matematik DS2 di Pusat Matrikulasi UKM Bangi, pada pertengahan tahun 1995. Peluang ini saya tidak lepaskan, saya mohon dan dipanggil temuduga. Alhamdulillah saya berjaya dan dipanggil untuk mendaftar sebagai pensyarah DS2 di UKM. Bagaimanapun pihak MARA tidak lepaskan saya atas alasan kepentingan perkhidmatan. Proses ini berlanjutan (saya akan ceritakan dalam siri lain). Saya memang nekad untuk jawatan ini dan saya mendaftar di UKM pada 2 Januari 1996. Saya terjumpa kembali beberapa anak murid saya dari MRSM Taiping yang masuk Program Matrikulasi 1 tahun ini. Bilik pensyarah matrikulasi UKM pada masa itu adalah di tingkat atas sekali Bangunan Fakulti Islam UKM.

Walaupun jawatan saya adalah jawatan pensyarah DS2, cita-cita saya untuk menjadi pensyarah Fakulti Pendidikan memang menebal kerana itu adalah bidang kepakaran saya. Semasa di Matrikulasi UKM saya pernah berjumpa dan bertanya kepada seorang pensyarah senior yang berjawatan di Fakulti Pendidikan UKM. Beliau mengatakan “kami hanya ambil pensyarah muda”. Terasalah juga jiwa saya pada masa itu. Di pendekkan cerita dengan ketentuan takdir pada tahun 1999 pihak Kementerian Pendidikan pada masa itu menyatakan semua matrikulasi di Universiti harus ditutup. Saya dan rakan-rakan diberi pilihan untuk masuk Fakulti yang dipilih. Saya dengan rela hati memilih Fakulti Pendidikan UKM. Kami 8 orang dari matrikulasi UKM diterima masuk ke Fakulti Pendidikan UKM. Maka tercapai jugalah cita-cita untuk menjadi pensyarah Fakulti Pendidikan, walaupun jalannya berbelit-belit. Saya bercuti belajar PhD Biasiswa SLAB sehingga tamat pengajian PhD pada 2003. Keseluruhannya perkhidmatan saya bersama UKM adalah 23 tahun 5 bulan dan MRSM Taiping 9 tahun, sehingga bersara pada 8 Mei 2019.

Share my story!

Related posts