Dibesarkan dalam persekitaran sekolah

fandikecil

Share my story!

Saya dilahirkan pada 8 Mei 1959 di Padang Tengku, Kuala Lipis, Pahang. Saya difahamkan nama saya Effandi itu adalah hasil pengaruh pembacaan buku-buku dari Indonesia oleh ayahanda saya pada ketika itu.

Padang Tengku adalah dalam Daerah Kuala Lipis, Pahang dan terletak dalam jarak 20 km dari Bandar Kuala Lipis. Untuk sampai ke Bandar Lipis boleh menaiki keretapi ataupun melalui jalan darat. Boleh juga melalui sungai tetapi jarang digunakan. Sejak dari kecil lagi saya dibesarkan dalam persekitaran/kawasan sekolah, iaitu tinggal dalam rumah guru. Kedua-dua ayahanda dan ibunda saya adalah guru. Semasa saya dilahirkan mereka bertugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Padang Tengku. Ibunda saya (Hjh Wan Safiah Wan Ishak seorang guru biasa, berasal dari Kg Baharu, Jerantut) dan ayah saya (Hj Zakaria Hj Derani, berasal dari Kg Relong) adalah Guru Besar (lulusan Sultan Idris Training College, SITC, Tanjong Malim, Perak).

Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah 1966

Beliau menjawat jawatan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Padang Tengku bermula dari tahun 1958 sehingga tahun 1966. Beliau juga adalah Guru Besar yang pertama bagi sekolah tersebut.

Ayahanda di sebelah kiri bertali leher

Kawasan sekolah ini berada dalam kawasan Balai Polis Padang Tengku. Saya dimaklumkan kawasan sekolah ini juga adalah bekas kem Special Constables zaman darurat dahulu. Ada beberapa peristiwa yg masih saya ingat hingga ke hari ini. Adik saya Zaidi (sekarang Pengarah Kolej Komuniti Hulu Langat) pernah terperosok di bawah kereta Austin Minor ayah saya semasa beliau mengundurkan kereta keluar dari garaj.

adik beradik semasa itu 5 orang

Tanpa disedari adik saya berada di belakang kereta yang sedang berundur. Saya sempat menjerit “adik dibawah kereta” Mujurlah tiada kecedaraan berlaku walaupun adik saya sudah terperosok sampai ditengah kenderaan,sempat beliau merangkap keluar selepas kenderaan berhenti. Di kawasan sekolah inilah juga saya mula pandai mengayuh basikal. Basikal ayah saya pada masa itu, adalah basikal jenis Raleigh yang mempunyai palang di tengah. Dengan sebelah tangan kanan memeluk palang dan tangan sebelah kiri memegang stereng basikal saya mula belajar mengimbangi badan untuk berkayuh. Itulah permainan saya di waktu petang. Ayah dan ibu saya pernah menceritakan yang saya pernah hilang dari bilik tidor semasa mereka hendak masuk tidor. Mereka mencari sekeliling rumah tidak jumpa. Rupanya saya terjatuh dari katil bilik tidor dan tergolek kebawah katil. Semasa tinggal disini juga saya pernah belajar mengaji Quran dirumah Pakcik Ismail (beliau adalah bapa kepada sahabat saya En Norazlan, pensyarah IPGRM Seremban sekarang). Pakcik Ismail seorang yang lemah lembut dan sentiasa senyum tetapi tegas. Disinilah saya mula mengenai alif, ba, ta. Pada tahun 1966 saya memasuki Darjah 1 Aliran Inggeris di Sekolah Rendah Clifford, Kuala Lipis. Bagaimanapun hanya sempat setahun sahaja kerana ayahanda saya telah ditukarkan sebagai Guru Besar Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Tembeling, Jerantut. Akan Disambung…

Ayahanda bersama anak murid SK Padang Tengku

Share my story!

Related posts

Leave a Comment