PERTAMA KALI MENJEJAK KAKI DI USA

Share my story!

Bersama Ibubapa & Keluarga sebelum berangkat ke USA 1982

Pada satu hari di bulan Disember 1982 kami dikehendaki berada di Subang Airport lebih awal kerana pegawai MARA perlu menyerahkan passport kepada kami. Kesemuanya, kami pada masa itu berjumlah seramai 36 orang menaiki pesawat MAS yang sama dan menuju ke tempat yang sama. Kebanyakan daripada kami masih belum mengenali antara satu lain, walaupun kami pernah bertemu pada sesi taklimat yang diadakan oleh pihak MARA. Rakan pertama yang saya kenal pada masa itu adalah saudara Sabri Ahmad lepasan diploma UTM (Beliau sudah bersara sekarang selepas menjadi pensyarah Professor Madya di Universiti Malaysia Terengganu, yang juga bekas pelajar PhD saya yang pertama di Fakulti Pendidikan UKM). Tempat yang kami akan tuju ialah Fresno, California, yang mana kami di kehendaki mengambil kursus Bahasa Inggeris selama 6 bulan di International English Institute, Fresno, California.

Dalam perjalanan ke USA kami transit di Narita, Jepun dan bermalam satu malam di Jepun. Sempat juga pegawai MARA membawa kami ke tempat yang menarik di Narita. Keesokan harinya kami bertolak dari Narita Airport untuk ke USA. Perjalanan dari Malaysia ke USA mengambil masa lebih kurang 18 jam perjalanan. Setibanya kami di Fresno kami diagih-agihkan kepada keluarga angkat mat salleh. Cuaca di Fresno pada masa  itu baru bermula musim sejuk. Untuk pengetahuan, di Fresno, California tiada salji turun melainkan dikawasan pergunungan. Saya dengan seorang lagi rakan diserahkan kepada satu keluarga angkat mat salleh untuk tinggal selama 3 bulan.

Bersama Ibu Angkat

Keluarga ini memang baik orangnya, mereka mempunyai dua orang anak lelaki yang semuanya sudah bekerja. Seorang daripadanya sudah berkahwin dan duduk bersama keluarga itu. Salah seorang anak lelaki mereka bekerja sebagai polis ronda California Highway Patrol. Anak lelaki yang bekerja sebagai polis ini selalu bawa kami meronda bersama beliau di dalam kereta awam. Beliau membawa pistol yang dilekat dipinggang beliau. Menakutkan juga tapi lama kelamaan sudah biasa dengan situasi itu. Berbalik kepada foster parent tadi iaitu ibubapa beliau, ayahnya bekerja sebagai Chiropractor bersama isterinya. Mereka ada klinik sendiri dan selalu juga bawa kami ke klinik mereka. Dirumah mereka kami berdua diberi satu bilik dengan katil single masing-masing. Keluarga ini tidak makan daging dan mereka tahu kami muslim mungkin pihak MARA telah maklumkan lebih awal kepada mereka. Kami dibenarkan ambil minuman dan makanan halal dalam peti sejuk yang disediakan. Inilah pertama kali kami makan nasi dalam mangkuk yang mana berasnya dimasukkan dalam mangkuk kecil dan menggunakan microwave untuk dimasak.

Sekali-sekala kami dijemput makan malam bersama mereka. Kami hanya makan nasi putih dengan sayur segar dan buah-buahan. Pada minggu pertama tinggal dengan keluarga ini, iaitu sebelum kelas bermula kami dibawa bersiar-siar di sekitar Fresno. Kami berdua dan anak lelaki mereka duduk dibelakang open air truck. Pengalaman pertama kali naik truck.

Kami juga ditunjukkan tempat kami akan belajar iaitu berhampiran dengan California State University. Untuk ke kelas, kami berjalan kaki selama lebih kurang 30 minit pergi dan 30 minit balik setiap hari. Oleh kerana saya memang bersekolah Inggeris dari Darjah 1 hingga Tingkatan 3 (Sekolah Rendah Clifford dan Sekolah Menengah Clifford, Kuala Lipis, Pahang) maka bagi saya Bahasa Inggeris yang diajar memang mudah difahami. Cuma penekanan disini adalah kepada bahasa untuk komunikasi. Selepas hampir 3 bulan kami mohon dengar keluarga angkat untuk kami tinggal dirumah sewa berdekatan kolej. Kebetulan pada masa itu permohonan saya ke universiti di USA masih aktif (yang saya dapat beberapa universiti ini semasa di Malaysia lagi). Alhamdulillah, pihak MARA membenarkan saya masuk universiti yang telah saya pilih. Saya menghabiskan kursus bahasa inggeris ini selama 3 bulan lebih awal. MARA memberi pelepasan kepada saya untuk terus masuk ke universiti yang saya telah pilih. Saya pilih Indiana State Universiti kerana transfer jam kreditnya dari ITM antara yang terbanyak diberikan, iaitu 60 jam kredit, maksudnya saya boleh habiskan Ijazah Sarjanamuda dalam dua tahun sahaja.

Bersama Abang Osman & Zaidi

Share my story!

Related posts