Open Heart Surgery di IJN

Share my story!

Coretan Perkongsian Sebelum dan Selepas Menjalani Pembedahan Open Heart Surgery di IJN

Batuk dan Demam

Dalam bulan Mei 2013 saya telah mengalami batuk berpanjangan lebih kurang tiga minggu dan sekali sekala demam di waktu malam. Sepanjang tiga minggu itu saya telah dua kali bertemu doktor. Pada kali ketiga saya menemui doktor untuk mendapatkan rawatan saya telah pergi ke sebuah klinik panel UKM di Seksyen 15. Saya menunggu agak lama juga lebih kurang satu jam kerana waktu itu ramai pesakit yang ingin mendapatkan rawatan batuk dan selsema. Nombor giliran dipaparkan saya terus menemui seorang doktor wanita. Beliau menanyakan keadaan saya dan saya menjelaskan kepada beliau batuk saya masih lagi belum pulih setelah memakan ubat yang disarankan doktor sebelum ini. Beliau memeriksa badan saya menggunakan stetoskop di depan dan belakang badan. Setelah memeriksa beliau menyarankan saya membuat x-ray bahagian dada di klinik berhampiran. Saya dengan segera pergi ke klinik tersebut dan di x-ray di bahagian dada. Gambar x-ray dibawa kembali berjumpa doktor. Setelah memeriksa gambar x-ray, didapati bahagian paru-paru saya ada sedikit masalah ia itu ada tanda-tanda jangkitan. Beliau mencadangkan saya pergi ke bahagian kecemasan HUKM dengan membawa “refer letter” daripada beliau. Tanpa berlengah masa lagi saya terus ke Bahagian Kecemasan HUKM Cheras. Sesampainya saya di situ lebih kurang pukul 3 petang mereka memeriksa keadaan saya dan diberikan satu katil untuk menunggu pemeriksaan selanjutnya oleh doktor bertugas. Agak lama juga saya menunggu sebelum dimasukkan ke wad Warga UKM iaitu lebih kurang pukul 9 malam.Semasa berada di wad warga Hukm saya diberi antibiotik selama 5 hari. Hari ke enam saya dibawa untuk ujian CT scan untuk memeriksa paru-paru saya. Saya ditolak dengan kerusi roda daripada wad Warga UKM ke bilik CT scan. Oleh kerana ada pesakit lain yang juga menunggu untuk di scan maka giliran saya agak lama menunggu. Apabila tiba giliran saya, saya ditolak masuk ke bilik dan diminta untuk baring diatas katil CT scan. Saya dimaklumkan sedikit ubat akan dimasukkan ke dalam badan dan akan berasa sedikit panas. Saya digerakkan perlahan-lahan melalui sebuah mesin yang berbentuk semi-circle dengan putaran pancaran x-ray dan mendapat arahan untuk menarik nafas apabila tiba masa tertentu. Selepas selesai ujian CT scan saya ditolak balik ke wad. Keesokan harinya saya dimaklumkan tentang keputusan CT scan tersebut. Doktor mengatakan saya mendapat jangkitan paru-paru. Tetapi tanpa disangka doktor juga mengatakan saya menghadapi masalah dengan saluran darah aorta ke jantung iaitu terdapat bahagian yang membengkak dan jika tidak dirawat segera boleh pecah dan membawa maut. Tuhan saja yang tahu bagaimana lemahnya saya pada masa itu apabila mendengar keputusan doktor pakar itu. Saya dimaklumkan saluran darah aorta saya telah koyak di bahagian lapisan dalam, darah telah mengalir masuk bahagian tersebut. Masalah yang saya hadapi ini adalah apa yang disebut sebagai Aortic Dissection Type A. Sebenarnya, saya tidak mengalami sebarang tanda tentang penyakit tersebut. Doktor menanyakan saya sama ada sakit di bahagian kiri dan kanan bahu atau sakit belakang dan bahagian dada. Semua tanda tanda itu tiada pada diri saya dan saya memang aktif bermain tenis dan bersukan. Selain daripada maklumat daripada doktor pakar, saya terus mendapat maklumat lanjut melalui google.com dan saya memang menjangkakan masalah yang saya hadapi ini adalah amat berat. Risiko dan komplikasi pembedahan juga boleh membawa maut. Saya telah didatangi oleh doktor pakar jantung yang menasihatkan saya membuat pembedahan segera. Bagaimanapun beliau mengatakan HUKM pada masa itu tiada pakar yang boleh membuat pembedahan tersebut. Beliau menyarankan pembedahan dilakukan di IJN. Dalam pada itu saya juga mengalami masalah batuk yang masih tidak berkurangan. Saya juga telah dipindahkan ke wad Warga yang lebih besar dan selesa. Dalam beberapa hari saya dimasukkan air dalam badan dan dicucuk dengan antibiotik. Juga setiap pagi jururawat akan mengambil sampel darah dan kahak saya untuk dianalisis. Pada satu hari saya dimaklumkan hasil daripada analisis kahak mendapati ada tanda-tanda saya menghadapi TB. Ini juga memeranjatkan saya kerana bagaimana TB boleh ada dalam badan saya. Doktor perlu membuat pengesahan dengan membuat analisis lanjut. Alhamdulillah setelah beberapa hari menunggu saya disahkan tidak dijangkiti TB. Akhirnya batuk saya berkurangan walaupun tidak pulih sepenuhnya. Saya berada di HUKM sudah hampir tiga minggu. X-ray dilakukan sekali lagi, paru-paru saya mula nampak perubahan. Saya dibenarkan pulang tetapi harus berihat dirumah untuk menunggu proses urusan dengan IJN. Doktor menasihatkan saya supaya mengawal BP saya supaya tidak lebih daripada 140 disebelah atas. Saya juga telah diberi tarikh untuk ke HUKM semula untuk pemeriksaan selanjutnya.

Masalah Saluran Darah Aorta

Saya telah dimasukkan semula ke HUKM untuk pemeriksaan lanjut, tetapi kali ini saya dimasukkan ke wad Cardio. Doktor mencadangkan saya diperiksa dengan TEE (Transesophageal Echocardigram) untuk mengakses fungsi dan struktur jantung. Doktor memaklumkan awal bahawa prosedur ini agak menyakitkan. Saya diminta berpuasa sebelum prosedur ini dijalankan. Saya juga diminta menandatangani borang kebenaran sebelum prosedur dijalankan. Saya dibawa ke bilik khas untuk pemeriksaan tersebut dan diminta berbaring mengiring mengiring kekiri. Doktor membuat sedikit semburan, mungkin ubat bius ke dalam rongga mulut saya. Saya mula merasa kebas kemudian tiub yang agak besar dimasukkan kedalam kerongkong saya melalui mulut saya, saya dimaklumkan mereka akan memasukkan transducer (seperti mikrofon) melalui saluran tersebut. Ujian itu memang menyakitkan semasa dan selepas ujian kerana selepas ujian tersebut saya merasa sakit untuk menelan makanan. Alhamdulillah selepas dua hari kembali seperti biasa. Doktor yang merawat saya memaklumkan mereka sedang berurusan dengan IJN untuk pembedahan saya. Sekali lagi saya dibenarkan pulang untuk berihat dan mengawal tekanan darah saya.

Temujanji dengan IJN

Saya diminta untuk ke IJN dan berjumpa dengan pakar bedah Dato’ Dr Mohd Azhari. Alhamdulillah saya mendapat doktor pakar jantung yang memang terkenal dan pernah saya dengar tentang kehebatan beliau di IJN. Sekali lagi saya banyak berterima kasih kepada doktor pakar di HUKM yang menghubungkan saya dengan IJN. Seperti biasa untuk mendaftar sebagai pesakit di IJN perlu membawa surat gerenti daripada majikan. Oleh kerana pesakit yang ramai juga saya menunggu agak lama untuk berjumpa Dato’ Dr Mohd Azhari. Ini lah pertama kali saya berjumpa beliau, orangnya tidak banyak bercakap. Beliau meneliti CD yang saya bawa daripada HUKM melalui paparan 3D dalam komputer meja beliau. Beliau menjelaskan kepada saya tentang masalah yang saya hadapi dan risikonya jika tidak dibedah. Beliau menunjukkan kepada saya bahagian yang bengkak berdekatan dengan jantung saya, iaitu saluran darah Aorta yang telah membengkak dengan serius. Beliau juga menerangkan prosedur yang akan dibuat. Beliau menyatakan jika perlu prosedur Bentall juga akan dilakukan. Prosedur Bentall adalah melibatkan pengantian aortic valve, aortic root dan ascending valve. Setelah meneliti CD yang dibekalkan beliau menyatakan IJN akan buat sekali lagi ujian berkaitan untuk pengesahan. Tarikh pembedahan ditentukan,iaitu lebih kurang dua bulan daripada tarikh pertemuan itu. Senarai yang menunggu pembedahan agak panjang dan alhamdulillah akhirnya tarikh pembedahan ditetapkan. Saya diminta datang awal iaitu mendaftar masuk ward IJN dua tiga hari sebelum pembedahan kerana perlu melalui beberapa siri ujian sebelum pembedahan. Saya masih ingat tarikh yang ditetapkan itu adalah dalam bulan Ramadan 2013. Sekali lagi beliau menasihatkan saya mengawal tekanan darah.

Masuk Ward IJN

Saya mendaftar masuk wad IJN pada pertengahan bulan ramadan 2013. Saya masih ingat masuk ke bahagian pendaftaran wad di tingkat bawah IJN. Seperti biasa perlu mengambil nombor giliran sebelum dipanggil ke kaunter pendaftaran. Semasa pendaftaran, saya ditemani isteri saya. Selepas pendaftaran saya diberi nombor wad yang akan diduduki. Biliknya agak selesa bagi seorang pesakit seperti saya. Malam itu saya tidur ditemani isteri saya yang tidur dikerusi sebelah. Saya didatangi oleh dua orang doktor dan mereka menerangkan prosedur pembedahan yang akan saya lalui. Saya juga perlu menandatangani borang kebenaran pembedahan yang disediakan. Mereka memaklumkan kepada saya pembedahan akan dilakukan dalam masa terdekat. Saya diperlukan melalui pemeriksaan gigi di Hospital Kuala Lumpur. Pemeriksaan gigi adalah diperlukan bagi pembedahan major seperti open heart surgery. Saya dibawa dengan kereta IJN ke HKL untuk menemui pakar gigi. Semasa pemeriksaan gigi didapati ada 4 batang gigi saya perlu dicabut kerana takut ada jangkitan semasa pembedahan. Pada awalnya doktor gigi ingin mencabut satu gigi dan datang kemudian untuk gigi-gigi yang lain, bagaimanapun setelah dimaklumkan pembedahan akan dilakukan segera beliau bersetuju untuk cabut empat gigi sekali. Beliau menyatakan inilah kali pertama beliau mencabut empat gigi sekali gus bagi seorang pesakit. Tuhan sahaja yang tahu bagaimana menderitanya saya atas kesakitan gigi yang dicabut kerana dua gigi sebelah depan tidak mudah untuk dicabut kearna doktor gigi terpaksa membuat minor surgery. Malam itu saya merasa mulut saya bengkak tetapi alhamdulillah diberi ubat tahan sakit. Keesokan harinya saya juga perlu melalui ujian scan jantung. Saya juga perlu melalui ujian untuk pengesahan saluran jantung tersumbat. Saya juga dibawa kebilik khas dengan katil ditolak daripada wad untuk ke bilik tersebut. Saya masih ingat saya dibaringkan atas katil atas seperti dalam bilik pembedahan. Ubat dicucuk masuk melalui pergelangan tangan saya, memang menyakitkan. Doktor melihat dipaparan skrin sama ada ubat itu melalui saluran darah yang diinginkan, untuk melihat tahap tersumbat saluran ke jantung. Bagaimanapun doktor agak kecewa kerana ubat yang dimasukkan tidak menembusi saluran yang diingin dilihat. Beliau mengatakan kemungkinan masalah penyakit saya ini yang menyebabkan keadaan begitu. Selepas beberapa kali mencuba tapi gagal, saya kemudian dikeluarkan daripada bilik tersebut dan dihantar kembali ke wad untuk berehat. Akhirnya, saya sekali lagi melalui CT scan yang dilakukan di IJN. Saya pernah lalui prosedur ini di HUKM.

Hari Pembedahan Open Heart Surgery

Mendengar istilah Open Heart Surgery itu sudah cukup mengerunkan saya. Pada malam sebelum pembedahan saya diminta mandi untuk membersihkan badan dengan ubat yang diberi. Saya juga sempat membuat solat sunat taubat dan bertemu ahli keluarga yang datang menziarah. Memohon maaf dengan isteri dan anak-anak. Saya juga diberi ubat penenang untuk tidur tanpa gangguan. Pakaian untuk dipakai semasa pembedahan juga diserahkan oleh jururawat pada malam itu. Jururawat menasihatkan saya untuk bangun awal. Pada pagi esoknya,saya dikejutkan oleh jururawat yang datang pada pukul 5.30 pagi untuk membuat persiapan ke bilik pembedahan. Saya sempat mandi, bersihkan badan dan solat subuh. Setelah memakai pakaian untuk pembedahan saya diminta baring atas katil dan katil itu juga ditolak ke bilik pembedahan. Bilik pembedahan agak jauh daripada wad tempat tinggal, saya masih ingat perlu turun dengan lift dan melalui beberapa lorong yang dipenuhi orang ramai sehinggalah sampai ke luar bilik pembedahan. Saya diminta tunggu sebentar diluar bilik pembedahan untuk memberikan pelukan dan ciuman terakhir kepada isteri dan anak-anak. Pada masa itu jika tidak silap saya jam menunjukkan pukul tujuh pagi. Setelah semua selesai jururawat menolak katil saya masuk ke bilik pembedahan, saya sempat juga memberi lambaian terakhir kepada keluarga saya. Setibanya dibilik bedah saya terus diangkat ke katil bedah oleh beberapa orang jururawat. Saya melihat disekeliling dipenuhi dengan alat-alat elektronik dan peralatan pembedahan. Saya diminta bertenang oleh jururawat bertugas. Kemudian saya didatangi oleh seseorang kemungkinan doktor atau pakar bius beliau memperkenalkan diri dan pada masa itu saya sudah tidak ingat apa lagi. Saya juga sudah tidak ingat lagi pada bila masa saya dibius. Saya tidak merasa apa, sesudah sedar rupanya saya berada di wad ICU. Apabila saya terjaga, badan saya dipenuhi wayar-wayar dan masih khayal. Paha saya terasa sedikit sakit, rupanya paha kanan saya telah ditebuk semasa pembedahan. Juga disebelah kiri dan kanan badan diatas perut saya juga telah ditebuk untuk saluran darah, selain daripada tempat pembedahan yang sepanjang lebih kurang 8 inci di bahagian dada. Bahagian kanan leher saya juga telah ditebuk. Saya amat bersyukur kerana prosedur Bentall tidak dilakukan terhadap saya. Doktor hanya membuat repair terhadap bahagian aorta yang bengkak. Saya dimaklumkan selepas pembedahan saya telah diberikan morphine dengan dos yang tinggi dan masa pembedahan adalah lebih kurang empat jam setengah. Semasa sedar doktor pakar bedah Dato’ Dr Mohd Azhari dan rakan-rakan menanyakan keadaan saya. Alhamdulillah syukur pembedahan berjalan lancar dan tiada komplikasi. Saya dimaklumkan awal lagi sebelum pembedahan tentang risiko komplikasi pembedahan. Saya hanya bertawakkal kepada Allah.

Hari Selepas Pembedahan

Dalam ICU badan saya agak lemah, bagaimanapun pada hari kedua jururawat telah mula meminta saya untuk berjalan di sekeliling wad ICU mengunakan pemegang yang disediakan. Walaupun masih terasa sakit badan tetapi kuatkan juga semangat untuk bergerak. Kemudiannya saya dipindahkan ke wad biasa untuk pemulihan selanjutnya. Saya masih ingat ketika itu dalam minggu-minggu terakhir bulan ramadan. Dihari-hari berikutnya saya didatangi jururawat yang membersihkan luka-luka pembedahan. Mereka menjalankan tugas secara profesional. Sememangnya selepas pembedahan saya memang tiada selera untuk makan. Pada satu ketika selepas pembedahan saya pernah menghadapi masalah untuk membuang air besar, saya tidak pernah alami perkara ini dalam hidup saya. Betapa sakitnya tuhan saja yang tahu. Alhamdulillah dengan bantuan ubat yang diberikan perkara ini dapat diatasi. Saya juga perlu menjalani terapi di bilik terapi di tingkat bawah. Di bilik terapi saya disuruh mengayuh basikal, mengangkat berat, berjalan menaiki tangga serta berjalan tanpa menggunakan pemegang. Dibilik terapi juga saya berkenalan dengan pelbagai lapisan manusia daripada orang muda yang menghadapi masalah jantung sehinggalah kepada orang dewasa. Penyakit jantung tidak mengenali umur. Saya bersyukur atas nikmat Allah yang berikan kerana saya masih lagi boleh berjalan seperti biasa, tidak seperti mereka ada yang masih perlu menggunakan kerusi roda dan ada yang terpaksa membawa botol ubat dan botol air kencing yang disambungkan ke badan mereka. Saya mengucapkan banyak terima kasih kepada pihak IJN khusus Dato’ Dr Mohd Azhari dan pasukannya serta jururawat yang bertugas. Juga kepada majikan saya iaitu UKM yang telah banyak memberi bantuan dan sokongan. Tidak lupa kepada sahabat-sahabat, pelajar dan warga Fakulti Pendidikan UKM yang telah memberi galakan dan sokongan sepanjang saya berada di HUKM dan IJN. Saya dibenarkan keluar daripada IJN sehari sebelum Aidilfitri 2013. Saya diberi cuti rehat selama tiga bulan dan tidak boleh membuat kerja berat. Saya juga dinasihatkan membuat senaman ringan untuk memulihkan kembali pergerakan anggota badan saya.

Penghargaan kpd Isteri, anak-anak serta menantu, doktor-doktor pakar yg telah merawat saya Dato’ Dr Mohd Azhari, Dr Ismail serta team mereka di IJN. Prof Dr Oteh, Datuk Dr Ramzi, Prof Dr Rafizi drp HUKM serta pensyarah, bekas pelajar dan pelajar siswazah UKM yang melawat saya. Saya mula bertugas kembali dgn UKM pada awal November 2013 selepas cuti rehat selama 3 bulan selepas pembedahan. Syukur alhamdulillah….

Share my story!

Related posts